Tuesday 12 February 2013

CERAI TAKLIK


Ta‘liq ialah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya sesuatu yang bertentangan dengan ta‘liq tersebut.
Ta’liq : iaitu menggantungkan perceraian kepada sesuatu masa atau sesuatu perbuatan seperti kata suami kepada isterinya: “Sekiranya kau pergi ke tempat tertentu maka kau tertalaq.”

Perceraian tidak berlaku semasa suami melafazkan ta’liq tetapi hanya berlaku sekiranya syarat yang disebut dalam lafaz ta’liq tersebut dilanggar.

Di Malaysia cerai ta’liq ini adalah suatu bentuk perceraian yang biasa diamalkan. Selepas akad nikah seseorang suami dikehendaki melafazkan ucapan ta’liq dan menandatangani surat ta’liq di hadapan juru nikah.

Contohnya seperti di Wilayah Persekutuan, lafaz ta’liq tersebut adalah: 
Bahawa adalah saya mengaku apabila tinggalkan isteri saya (nama) selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut pada hal atau saya melakukan sebarang mudharat kepada tubuh badannya kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan memberi kepada Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khulu” 
[Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, Kaedah-kaedah Keluarga Islam (borang dan Fee) 1985 (seksyen 134(3)]

SYARAT TA’LIQ
1.                 Suami - Hendaklah mempunyai keahlian menjatuhkan cerai dengan melafazkan kata-kata ta‘liq.
2.                 Belum berlaku - Hendaklah ta‘liq ke atas perkara yang belum berlaku atas perkara yang mungkin berlaku.
3.                 Isteri - Hendaklah menjadi ahli cerai (masih menjadi isteri yang sah).
Contohnya suami berkata kepada isteri: “Jika engkau keluar dari rumah ini sepanjang ketiadaan aku, jatuhlah talaq engkau” atau “Apabila engkau pergi ke rumah si anu, jatuhlah talaq” atau “Manakala engkau pergi ke sana tanpa izinku jatuh talaq” atau sebagainya.

Apabila berlakunya perkara yang bertentangan dengan syarat yang dilafazkan, maka terjatuhlah talaq menurut hukum syara‘.

PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG MENGENAI TA‘LIQ

Berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 50, seseorang perempuan yang bersuami boleh jika berhak memohon penceraian menurut syarat-syarat ta‘liq yang dibuat selepas akad nikah. Kandungan lafaz ta‘liq tersebut :

1.                 Meninggalkan isteri selama empat bulan berturut-turut.
2.                 Tidak memberi nafkah yang wajib selama empat bulan berturut-turut.
3.                 Menyakiti tubuh badan isteri.
4.                 Suami tidak mempedulikan isteri selama tempoh empat bulan berturut- turut.

RINGKASAN MAKSUD CERAI TA’LIQ

Ta'lik membawa maksud mensyaratkan atau menggantungkan sesuatu kepada sesuatu yang lain. Cerai ta'lik ini berlaku dalam beberapa hal :
  1. Ta'lik yang diucapkan suami di hadapan Kadi dan saksi setelah ijab kabul sebagaimana yang termaktub di dalam sijil pernikahan.
Perceraian seumpama ini (ta'lik yang diucapkan suami di hadapan Kadi) hanya boleh disabitkan oleh Hakim di dalam perbicaraan. Perkara ini berlaku jika isteri ingin menuntut perceraian di hadapan Hakim, sementara suami tidak mahu menceraikan isterinya dan belum melafazkan talak kepadanya. Isteri dikehendaki membuktikan bahawa suaminya telah melanggar perjanjian (Ta'lik) yang telah dibuat sewaktu bernikah dahulu.
Jika Hakim dapati suami telah melanggar ta'lik dengan hujah yang jelas yang dikemukakan oleh isteri di dalam perbicaraan, maka Hakim berhak memisahkan kedua pasangan dan menghukumkan jatuh talak kepada pasangan tersebut.
  1. Ta'lik yang diucapkan oleh suami kepada isterinya sebagai contoh:
"Jika awak keluar rumah ini, maka jatuhlah talak satu kepada kau"
Jika isteri tetap keluar dari rumah tersebut setelah memahami ucapan yang dibuat oleh suaminya maka jatuhlah talak ke atasnya. Tetapi jika ada lafaz tambahan umpama kalimah "hari ini", dalam lafaz yang diucapkan oleh suami, maka jika isteri keluar dari rumah pada esok hari , lusa atau sebagainya maka tidaklah jatuh talak ke atasnya. Walau bagaimanapun, pasangan dinasihatkan agar membuat pengaduan di Mahkamah Syariah bagi mendapatkan pengesahannya.


SOAL JAWAB (ISU-ISU BERBANGKIT)
SOALAN PERTAMA
Kata-kata daripada seorang si suami kepada si isteri. "Kalau awak keluar lagi bekerja selepas ini,aku cerai kau dengan talak 1" Namun, selepas berbincang dan berbaik semula,si suami akhirnya membenarkan isterinya kembali bekerja.
Apakah lafaz yang dikeluarkan boleh diterima pakai?
Jika lafaz tersebut sah,apakah yang patut dilakukan oleh kedua pasangan tersebut?
JAWAPAN
Apa yang yang berlaku adalah lafaz ta'liq cerai. Ini bermakna apabila ia menybeut demikian, si isteri tidak dibenarkan sekali-kali untuk melanggarnya atau talaq akan jatuh secara pasti.
Adapun dalam konteks "setelah berbincang semula dengan suami, dan suami benarkan pulak
Majoriti ( Jumhur) para ulama Islam silam ( termasuk ulama dari 4 mazhab) dan kini menyebut bahawa lafaz ta'liq tidak boleh di batalkan lagi apabila telah diucapkan, niat si suami juga tidak perlukan untuk dipastikan dalam konteks lafaz yang sebegini terang dan jelas ( kecuali beberapa pandangan seperti Syeikhul Islam Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim yang menyebut kecuali jika lafaz ta'liq tadi diniatkan oleh suami sebagai lafaz sumpah untuk menunjukkan tegahan yang amat amat serius dan bukan untuk menceraikan jika ia melanggarnya. Bagaimanapun pengecualian ini sukar untuk dibayangkan berlaku di suasana malaysia kerana ia adalah suasana orang Arab sahaja yang sememangnya kerap bermain dengan sumpah seperti ini)
Kecuali terdapat satu pandangan dalam mazhab Hanbali yang MENGHARUSKAN pembatalan talaq ta'liq sebagaimana di sebuat dalam kitab al-Furu' oleh Ibn Mufleh.
Hasilnya, menurut 4 mazhab ; apabila si isteri keluar bekerja selepas itu walaupun dengan izin suami, talaq 1 tetap akan jatuh.
Wallahu a'lam dalam hal di Malaysia, Mahkamah Syariah di Malaysia juga mengambil pandangan majoriti Mazhab. Iaitu talaq Ta'liq TIDAK BOLEH DI TARIK BALIK.
SOALAN KEDUA
Seseorang isteri yang mana merupakan isteri kedua dalam perkahwinan dan suami tidak diredhai isteri pertamanya menyebabkan dia (isteri pertama) menfailkan cerai di mahkamah. Namun, suami enggan menceraikannya. Oleh itu kes mereka selesai di luar mahkamah tetapi isteri pertama itu memberi syarat bagi dia menarik balik kes cerai tersebut. 

Syaratnya, suami perlu ceraikan isteri kedua tersebut sebagai contoh diberikan dalam tempoh dua bulan dari tarikh kes ditarik balik, atau isteri pertama itu yang akan mohon fasakh selepas itu. Suami setuju dengan syarat tersebut dan kes di mahkamah tersebut selesai.

Hingga sekarang,isteri kedua dan suami masih hidup seperti suami isteri. Suami memberitahu kepada isteri kedua bahawa dia bersetuju dengan syarat yang diberi oleh isteri pertamanya itu bagi mengelakkan berlaku perceraian antara mereka yang melibatkan masa depan anak-anak.

Isteri kedua tersebut meragui kedudukannya sekarang sama ada dirinya masih isteri yang sah ataupun sudah dita'liqkan oleh suaminya walaupun dia tidak berniat untuk berbuat demikian.
JAWAPAN
Perceraian dan taklik berlaku atas kehendak dan pilihan suami. Dalam hal ini, saya dapati suami 'terpaksa' menuruti kehendak isteri pertama untuk menjaga rumahtangga yang dibina sekian lama di mana terdapat kepentingannya bagi mengelak kemudharatan rumahtangga mereka.

Oleh kerana pengakuan 'perceraian' yang dilakukan suami atas 'paksaan', ia tidaklah jatuh talaknya. Suami kepada isteri tersebut sendiri menyedari hukum ini dan mengakuinya sekadar melepaskan masalah pada ketika itu.
 SOALAN KETIGA
Bagaimana nak bezakan antara lafaz ta'liq dan ugutan/ancaman? Lafaz ta'liq mesti mengandungi perkataan talaq atau cerai ke? Merujuk soalan sebelum ini, bagaimana kalau ia merupakan satu ugutan? adakah jatuh talak bila isteri melanggarnya?

JAWAPAN
Cerai taklik ialah cerai yang digantung ataupun disyaratkan dengan sesuatu. Contohnya seperti suami berkata kepada isterinya, "Sekiranya kamu keluar dari rumah pagi ini ataupun kamu pulang ke rumah ibu kamu tanpa izin saya, maka gugurlah satu talak". Jatuh satu talak sekiranya isterinya melakukan perkara yang ditaklikkan itu. Lafaz taklik mesti mengandungi perkataan yang membawa kepada maksud talak atau  cerai.

Manakala ugutan pula ialah kata-kata yang bertujuan untuk menakut-nakutkan supaya melakukan atau mematuhi sesuatu. Ia adalah ucapan yang umum dan tidak mengandungi perkataan yang membawa kepada maksud talak atau cerai.

Dalam hal ini, berpandangan jika ugutan yang dibuat mengandungi perkataan yang membawa kepada maksud talak atau cerai akan jatuh talak sekiranya isteri melanggarnya. Jika ugutan tersebut mengandungi perkataan yang membawa maksud talak atau cerai, dinasihatkan agar tuan membuat pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan tempat tinggal bagi memastikan sama ada berlaku cerai atau sebaliknya kerana pengesahan lafaz cerai terletak dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Juga dinasihatkan agar jangan memandang ringan dan mengambil mudah tentang talak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Tiga perkara yang disungguh-sungguhkan akan menjadi sungguh dan diacah-acahkan akan menjadi sungguh iaitu nikah, talak dan rujuk"

PROSEDUR-PROSEDUR BAGI MEMOHON CERAI SECARA TA’LIQ

1. Apakah prosedur yang perlu dilakukan bagi membuat permohonan perceraian secara ta’lik? 
JAWAPAN

Apabila berlakunya perlanggaran seperti mana dibelakang surat daftar nikah maka mengadu kepada mana-mana mahkamah syariah dengan memulakan prosiding dengan saman yang disertakan dengan pernyataan tuntutan yang menjelaskan secara terperinci mengenai perlanggaran taklik talak. Saman hendaklah diserahkan kepada suami secara ke diri. Dan apabila gagal boleh dikemukakan saman gantian seperti iklan diakhbar, lekat saman di alamat terakhir dan surau atau masjid yang berdekatan dengan alamat suami serta papan kenyataan mahkamah. Apabila prosding tersebut sempurna mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan. Pada masa tersebut isteri hendaklah memberikan keterangan dan membuktikan setakat mana perlanggaran taklik talak tersebut berlaku. Saksi-saksi dikemukakan bagi menyokong keterangan isteri. Dan diakhir perbicaraan sumpah yamin istizhar ke atas isteri dan mahkamah akan mensabitkan perceraian secara takliq sekiranya keterangan isteri diyakini oleh hakim bicara tersebut sabit akan aduannya. Sekiranya suami hadir suami juga perlu member keterangan dan dibawa dua saksi atau lebih. Mahkamah akan menilai keterangan pihak-pihak dan berdasarkan syahadah dan qarinah mahkamah akan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak

2. Apakah halangan-halangan yang terdapat semasa melaksanakan pemohonan cerai ta’lik?

JAWAPAN
Antara halangan menyukarkan prosiding ini iailah :
a) Tiada saksi
b) Saksi tak mencukupi
c) Keterangan hanya dengar cakap (hearsay)
d) Pemohon dan saksi tak dhobit atau kuat lupa
e) Keterangan bercanggah dan tak konsisten
f) Menipu mahkamah
g) Isteri yang meninggalkan suami terlebih dahulu

3. Berapa tempoh bagi satu kes cerai ta’lik dapat diselesaikan?

JAWAPAN
Sekiranya melibatkan perbicaraan sebelah pihak secepat kes adalah 3 bulan atau 3 kali sebutan dan selewatnya adalah 6 bulan atau 6 kali sebuatn dari tarikh kes difailkan. Sekiranya kedua pihak hadir dan masing-masing bertikai dan tidak mahu menyelesaikan kes paling awal dalam 6 bulan kes selesai dan selewatnya 2 ke 3 tahun kes akan selesai, bergantung kepada keterangan pihak-pihak. Namun sekiranya kedua pihak berkompromi dan untuk menyelesaikan kes secara sulh dengan sekali sebutan sahaja iaitu dipinda perceraian taklik kepada seksyen 47 enakmen keluarga islam perceraian persetujuan.



TIPS UNTUK MENGATASI DAN MENYELESAIKAN MASALAH RUMAHTANGGA

Masalah Rumah Tangga.Dalam perkahwinan tentu sahaja ada masalah rumah tangga. Tak kiralah sekarang, masa lalu mahupun akan datang.Masalah ru...